Bismillahirrahmanirrahim
Aku mulakan bicara kata dengan ungkapan yang sangat selalu diungkap oleh ramai orang termasuk diri ini; Al-eeman yazidun wa yankus (iman itu bertambah dan berkurang). sangat tepat sekali kat-kata tersebut. Tidak dapat dipastikan samada kata-kata itu merupakan hadith ataupun athar atupun hanyalah satu ungkapan kata-kata hukama'. Disini aku tidak ingin membicarakan tentang kesahihan kata-kata tersebut kerana aku bukanlah orang yang selayaknya. Tetapi jika diperhatikan maknanya sangat benar sekali pada pandangan aku yang lemah ini.
Ada kalanya iman manusia itu berada di tahap yang sangat tinggi, ada kalanya iman itu jatuh merudum sehinggakan susah untuk dia bertahan dengan godaan dunia. terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar. Beliau pernah bertanya Rasulullah mengenai iman. “Adakah iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang?” Jawab Baginda saw: “ Ya, iman seseorang itu boleh bertambah hingga (akhirnya) ia masuk ke dalam syurga dan (iman juga boleh) berkurang sehingga seseorang itu (akhirnya) masuk ke dalam neraka.”